MANJUNG: Seorang bilal masjid adalah antara 39 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana Perangi Dadah Habis-Habisan 2.0 Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di sekitar Sitiawan.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri, Mokhtaruddin Mohamad berkata, bilal masjid berusia 50-an yang menghidap sakit buat pinggang itu ditahan ketika leka membeli dadah jenis Methamphetamine atau Syabu di sebuah “port” penagihan di Sungai Tiram, Lekir pada awal pagi Rabu.

“Melalui hasil siasatan kita dia memang mengakui ke kawasan itu untuk membeli dadah tersebut sebaik selesai mengerjakan solat subuh di masjid berdekatan.

“Kita juga turut merampas wang yang digunakan dalam urusan jual beli itu di samping dadah tersebut,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Menurut beliau lagi, saringan awal urin yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis Syabu dan kini disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.

29a0d816-6fef-431d-aadf-a711f96c7fe8“Kita dapat menahan bilal ini selepas mengadakan risikan di “port” tersebut sejak beberapa minggu sebelum ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mokhtaruddin memberitahu, dalam operasi yang bermula jam 9 malam Selasa hingga 10 pagi Rabu, pihaknya turut telah menahan seorang ibu berusia 42 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun.

“Mereka ditahan di rumah selepas orang awam membuat aduan, kedua-dua mereka selepas diperiksa didapati positif dadah jenis Syabu.

“Ibu dan anak tidak tahu masing-masing menghisap dadah, apabila dah ditangkap, barulah mereka tahu. Ibu pula memberi alasan guna dadah ini untuk kuruskan badan,” ujarnya.

Seramai 39 individu berusia lingkungan 15 sehingga 54 tahun telah ditahan dalam operasi itu kerana terlibat dalam pengunaan pelbagai jenis dadah.