IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tiada cadangan setakat ini untuk membina sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Selama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari berkata, setakat ini Perak telah mempunyai tujuh SBP yang dianggap mencukupi.

Menurutnya, SPB itu ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Tunku Abdul Rahman, empat Sekolah Menengah Sains (SMS) iaitu SMS Tapah, Teluk Intan, Taiping dan Bagan Datuk serta sebuah SBP Intergrasi di Gopeng.

Di samping itu, kata beliau, Perak juga mempunyai tiga Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan beberapa buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Saya berpendapat, bilangan SBP di Perak sudah mencukupi, tambahan pula terdapat sekolah dan kelas rancangan khas untuk melahirkan pelajar cemerlang, selaras dengan matlamat SBP,” katanya ketika menjawab soalan asal YB Mohd Akmal Kamarudin (PAS – Selama) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengenai Kolej Kemahiran MARA di daerah Selama, beliau memberitahu, pihak MARA akan mengkaji semula projek itu, selaras dengan pekeliling Kementeria Kewangan bertarikh 26 Jun 2018.

Menurutnya, melalui pekeliling itu mana-mana projek yang belum ada surat setuju terima hendaklah ditangguhkan atau ditender semula.

Menjawab soalan tambahan YB Yahaya Mat Nor (Amanah – Pasir Panjang), YB Abdul Aziz berkata, KPM mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan untuk membina SBP.

Katanya, antara faktor itu ialah guna tenaga, keperluan dan kewangan.

Tambahan pula, beliau berpendapat keperluan SBP sekarang tidak mendesak kerana cita rasa ibu bapa terhadap sekolah itu tidak lagi seperti dahulu.