MERSING: Selepas 13 tahun beroperasi, Kem Iskandar di sini, akan menerima kemudahan kolam selam tempur yang akan mula dibina dalam usaha meningkatkan kecekapan Grup Gerak Khas (GGK) terutama dalam kemahiran perairan.

Majlis pecah tanah kolam selam tempur 21 GGK disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Kem Iskandar di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Muhamed Noor.

Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jeneral Datuk Jamaludin Jambi, berkata sejak mula beroperasi pada tahun 2005, Kem Iskandar tidak mempunyai kemudahan latihan kepakaran air dan udara.

“Di antara dua aspek kemudahan itu, aspek kemudahan kepakaran dalam air menjadi keutamaan kepada 21 GGK dan ketiadaan kemudahan kolam tempur.

“Ia menyebabkan kesukaran kepada kami melatih dan melahirkan anggota baharu yang mempunyai kemahiran selaman, kepakaran underwater demolition dan perenang tempur,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Katanya, risiko dan kos melatih mereka di kawasan perairan terbuka lebih tinggi berbanding melatih di dalam kolam selam tempur yang boleh dikawal serta diselia jurulatih sedia ada.

“Kami yakin pembinaan kolam selam tempur dapat memberi impak berkesan di dalam kepakaran perairan kepada 21 GGK khasnya dan Tentera Darat amnya.

“Lokasi dipilih bersesuaian dengan penempatan Rejimen di sini iaitu Rejimen 22 Komando yang dikhususkan bagi memiliki kemahiran tinggi dalam operasi perairan,” katanya.

Kolam selam tempur 21 GGK dibina di kawasan seluas 2,787 meter persegi dalam kawasan Kem Iskandar dan siap dalam tempoh kurang setahun – berita harian