KUALA KURAU – Pembinaan sebuah pangkalan baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau diperlukan di kawasan Pantai Ban Pecah bagi memastikan aktiviti pencerobohan nelayan pukat kenka dapat dibendung sepenuhnya.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan negeri menggesa kerajaan pusat membina pangkalan baharu bagi menggantikan pangkalan sedia ada yang menanggung kos sewa tinggi membabitkan bangunan dan jeti bernilai RM117,000 sebulan.

Menurutnya, sejak tahun 2007 pangkalan sedia ada disewa, kos penyewaan ditanggung kerajaan melebihi RM16 juta, namun masalah pencerobohan pukat kenka masih berleluasa.

“Kerajaan boleh menjimatkan wang rakyat dengan membina sebuah pangkalan Maritim baharu dan stratetgik untuk mengatasi pencerobohan nelayan pukat kenka berleluasa di perairan Tanjung Piandang dan Kuala Kurau lebih berkesan.

“Operasi di pangkalan sekarang juga tidak begitu berkesan bagi menangani masalah pencerobohan dilaporkan kerana ianya terletak di kawasan sungai, memudahkan pengerakan Maritim Kuala Kurau dikesan tonto,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kerian (PNK) ke-39 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC) Yu Chai, di sini hari ini.

Abdul Yunus(dua kanan) menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada ahli persatuan PNK yang bertuah sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu ke-39 di Kuala Kurau hari ini.
Abdul Yunus(dua kanan) menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada ahli persatuan PNK yang bertuah sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu ke-39 di Kuala Kurau hari ini.

Abdul Yunus yang juga ADUN Kuala Kurau berkata, dengan pembinaa pangkalan baharu, pihaknya yakin anggota Maritim akan lebih cekap dan berkesan dalam menangani sebarang pencerobohan nelayan pukat kenka yang berleluasa sehingga radius lima batu nautika.

“Sehubungan itu, nelayan pukat kenka sedia ada hendaklah mematuhi zon tangkapan ikan serta tidak melakukan pencerobohan di kawasan pantai bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya – sinar harian