Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PARIT BUNTAR: Pihak pemaju dinasihatkan agar bersikap lebih proaktif dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam sebarang pelaksanaan projek agar ia tidak memberi masalah kepada rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihak pemaju sewajarnya memaklumkan sebarang permasalahan yang dialami baik sebelum dan selepas perlaksanaan projek kepada kerajaan negeri, khususnya yang melibatkan kepentingan awam.

Menurut beliau, kelewatan di dalam projek berkenaan boleh menimbulkan masalah kepada rakyat yang turut memberi impak negatif kepada kerajaan.

“Terdapat dua pengajaran yang boleh dijadikan iktibar iaitu sebenarnya ada perkara yang boleh diselesaikan dengan begitu mudah, justeru kerjasama itu harus dijalinkan agar kerajaan negeri dapat membantu kerana ini isu melibatkan rakyat.

“Yang kedua, secara tidak langsung sekiranya terdapat impak negatif atau masalah dari segi projek maka kerajaan negeri terpaksa menanggung kos politik kerana apabila munculnya kesulitan, yang dimarahi dan dipersalahkan adalah kerajaan negeri, bukannya pemaju,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Seri Kerian, Parit Buntar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai penantian seramai 57 penduduk di sekitar Daerah Kerian membabitkan pembayaran ganti rugi kediaman atau ex gratia berhubung Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar sejak lapan tahun lepas.

Dr Zambry bersyukur kerana campur tangan kerajaan negeri terhadap masalah bayaran bernilai RM262,000 kepada 57 penduduk yang berlarutan selama lapan tahun akhirnya dapat dilaksanakan dan membantu mereka yang terkesan.

Kata beliau, ia adalah hasil Program Permukiman di daerah Kerian sebelum ini di mana suara hati mereka telah disampaikan secara terus kepada Dr Zambry dan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.

zambry-bincang-projek 2

“Saya telah berbincang dengan pemaju, mereka menyatakan pembayaran tidak dibuat kerana ada percanggahan pendapat, justeru saya menasihatkan mereka laksanakan pembayaran kepada penduduk yang bersetuju menerima bayaran.

“Nilai setiap ganti rugi ini akan diteliti berdasarkan tahap kerosakan akibat projek berkenaan namun walaupun ianya tidak sebesar mana sekurang-kurangya ada, bukan menunggu bertahun lama,” ujar beliau.

Dr Zambry menegaskan, bahawa beliau tidak lagi ingin mendengar sebarang permasalahan yang melibatkan konsesi dari pemaju dan sebarang perbincangan wajar dimaklumkan kepada kerajaan negeri untuk kebaikan bersama.

Seramai 57 penerima daripada Taman Setia Jaya, Taman Damai dan Taman Seri Wangsa di daerah ini menerima di antara RM2,000 hingga RM12,000 sebagai ganti rugi kepada Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik ( Ipoh-Padang Besar) yang dilaksanakan pada tahun 2009.