IPOH – Kerajaan negeriPerak  bakal mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) berhubung pelbagai perkara melibatkan soal pembangunan termasuk penambahbaikan di beberapa kawasan laluan kereta api di sekitar negeri.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, proses pembangunan serta penambahbaikan itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan laluan kereta api tanpa mengira samada kawasan berkenaan masih beroperasi atau telah terbiar sejak sekian lama.

Menurut Kar Hing, usaha berkenaan dilihat sebagai antara langkah proaktif  dalam usaha membantu memperkasakan lagi industri pelancongan di negeri ini.

“Kita akan laksanakan proses pembangunan dan penambahbaikan ini di kawasan kereta api ini seperti di Jambatan Victoria.

“Proses ini juga termasuk di stesen kereta api di Ipoh. Di situ wujudnya sebuah hotel, tetapi telah terbiar sekian lama.

“Kita berharap pihak yang membangunkan kawasan berkenaan akan dapat meneruskan usaha mereka dan sekali gus  membantu membawa masuk lebih ramai pelancong ke Perak,” katanya.

Kar Hing berkata demikian pada sidang media sempena siri lawatan kerjanya ke Jambatan Vicotria di Karai serta acara perasmian Victoria Eco Adventure (VAP), semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar VAP,  Siti Norlizawati Narawi turut merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti di sekitar Jambatan Victoria dalam usaha menarik kunjungan pelancong.

Katanya, antara aktiviti yang dirancang adalah seperti mewujudkan pasar terapung, selain beberapa aktiviti malam di sekitar jambatan berkenaan.

“Kita  yakin bahawa pembukaan  kawasan berkenaan dapat membantu menarik kunjungan pelancong.

“Kita juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat membantu dalam menjadikan Jambatan Victoria, Karai sebagai tarikan pelancongan utama di Kuala Kangsar kelak,” katanya – sinar