IPOH: Kerajaan negeri masih dalam peringkat perbincangan bersama kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.

7ef3da4d-c79f-49be-a08c-438688b9fe60Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan bekalan air di Kerian yang pernah mengalami krisis air
sebelum ini.

“Kerajaan negeri telah pun mengemukakan rancangan itu kepada pihak Persekutuan untuk tindakan selanjutnya, ia penting untuk dilaksanakan bagi memastikan paras air di Empangan Bukit Merah  sentiasa berada di paras kekal.

“Kita sudah membawa perkara ini dan Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) telah membuat kertas usul ke peringkat tertinggi dan dibincangkan di Majlis Sumber Air Negara berhubung rancangan negeri untuk meningkatkan bekalan air di Kerian,’’ katanya.

Zainol berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Empangan Sultan Azlan Shah Hulu Kinta di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Katanya, selain membekalkan air minum, Empangan Bukit Merah juga digunakan untuk penyaluran air ke sawah padi.

Beliau berkata, penyaluran air ke sawah pernah beberapa kali terganggu akibat penurunan paras air yang paling serius akibat fenomena cuaca El-Nino pada tahun 2014 dan 2015.

Jelasnya, fenomena El-Nino pada masa itu menyebabkan paras air di empangan berkenaan menurun agak drastik sehingga 21 kaki daripada paras biasa 28 kaki.

“Ia turut menyebabkan bekalan air untuk kegunaan industri di Kamunting terjejas,’’ ujarnya.