IPOH– Warna biru muda memeriahkan sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia di Sekolah Kebangsaan Coronation Park, yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Kelihatan ibu bapa dan para guru berpakaian sedondon berwarna biru muda sebagai tanda sokongan kepada sambutan tersebut, malah mereka turut melibatkan diri dengan program yang dianjurkan.

Bermula seawal jam 8 pagi, kira-kira 70 orang murid yang menghidap autisme dibawa berjalan ke sekitar Taman DR Seenivasagam dengan ditemani oleh ibu bapa dan guru, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada susunan program dan dinamakan ‘Walk For Autisme’.

Menurut Guru Besar SK Coronation Park, Rokiah Bakar, Hari Autisme Sedunia Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah disambut dengan moto ‘Teach, Love, Inspire.

“Di daerah Kinta Utara, sekolah kami yang memulakan buat julung kali di peringkat daerah yang melibatkan 15 buah Sekolah Pendidikan Khas.

“Kami ada dua aliran iaitu aliran perdana dan pendidikan khas termasuk untuk pelajar autisme.Bagi pelajar autisme ini sedikit berbeza kerana dari luaran mereka nampak biasa tetapi ada tingkah laku yang susah nak kawal contohnya menjerit.

“Cara untuk mengawal mereka adalah dengan latih tubi dan pengulangan ayat, kita tidak mementingkan sangat pencapaian akademik kerana fokus utama untuk membentuk tingkah laku yang betul,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis tersebut pada Isnin, yang turut sama Penolong Pengarah Pemulihan Khas Unit Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Eni Zanifah Mohd Jaberi.

Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut dengan tema warna biru ‘Light It Up Blue’, di mana sambutan di luar negara bangunan pencakar langit dan lokasi tertentu akan menyalakan lampu biru sebagai tanda sokongan.

Autisme merupakan penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, nama autisme diambil dari perkataan Greek yang bermaksud sendiri atau melarikan diri dari realiti.

Kebiasaannya tanda-tanda autisme boleh dikesan pada usia awal tiga tahun dan dianggarkan bahawa ia membabitkan kanak-kanak lelaki emoat kali lebih kerap berbanding perempuan.

Antara tanda-tanda autisme seperti hubungan sosial sangat terhad, tidak menunjuk kepada objek atau peristiwa kepada ibu bapa, tidak suka dibelai atau dipeluk, kesukaran memahami isyarat sosial, senyum atau ketawa tidak sesuai dengan keadaan serta tidak menunjukkan minat.

Dalam majlis itu, Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada sambutan Hari Autisme Sedunia, beliau berkesempatan menyampaikan dua buah lagu kepada hadirin di majlis itu.

Tidak ketinggalan, artis cilik Ceria Megastar, Muhammad Aniq Iffat Ruzaimi yang hadir untuk beramah mesra bersama murid-murid.