PASIR SALAK: Tindakan petani menanam padi Black Madras atau jenis lain yang dibawa masuk secara haram ke negara ini berisiko menyebabkan kemusnahkan industri padi tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, penananam padi jenis Black Madras tidak dibenarkan sama sekali kerana selain tidak diiktiraf ianya tidak uji dan dikhuatri mengandungi penyakit berjangkit.

Menurut beliau, penyakit berjangkit yang mungkin dibawa oleh padi jenis itu boleh menjangkiti padi tempatan yang boleh menyumbang kepada kemusnahan.

“Kita tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana ianya akan menimbulkan pelbagai masalah ekoran padi-padi ini tidak menjalani sebarang ujian terlebih dahulu.

“Kita takut kadang-kadang jenis-jenis padi ini membawa penyakit dan akan menjejaskan sawah padi yang lain pula, ini amat membahayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program turun padang bertemu pengundi di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chenderong Balai di sini pada Ahad.

Tajuddin menambah, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang kes baharu melibatkan penanaman padi terlarang tersebut di negara ini selain di Tambung Tulang Arau, Perlis yang dibongkar baru-baru ini.

Pada Rabu, Jabatan Pertanian Perlis telah membongkar kegiatan penanaman padi Black Madras, sejenis padi asing berwarna hitam dikatakan berasal dari Korea yang ditanam secara haram di Tambun Tulang.