PENAMPANG: Satu blok asrama dua tingkat menempatkan pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini, terbakar, pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dalam kebakaran yang bermula jam 7.30 pagi itu.

Difahamkan, ketika kejadian, tiada pelajar berada di asrama berkenaan kerana sesi pembelajaran sudah bermula.

Jurucakap Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.33 pagi, sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.
“Kebakaran membabitkan blok di tingkat dua yang dihuni pelajar lelaki.

“Api dikawal jam 8.07 dan padam sepenuhnya sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Operasi memadam kebakaran membabitkan seramai 53 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Kota Kinabalu dan Lintas – berita harian