Oleh: Abd Razak Mohd Ali

PANGKOR: Rangka Tindakan Pem­ba­ngu­nan Wilayah Ekonomi Ko­­ridor Utara 2016-2025 (Blueprint 2.0) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bakal melonjakkan lagi pembangunan pelbagai sektor di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, blueprint itu telah mencadangkan dua kawasan untuk dibangunkan di Perak iaitu Kamunting dan Manjung.

57e0fa6a-d900-4f28-8eb8-96ac1bac58b0Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri juga akan membuat penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) untuk turut membangunkan Perak Selatan yang melibatkan Daerah Bagan Datuk.

Ujarnya, kerajaan negeri juga mengharapkan cadangan Pangkor dijadikan sebagai pulau bebas cukai akan terlaksana dengan cadangan pelbagai insentif pelepasan cukai yang dicadangkan di dalam Blueprint 2.0.

“Kita akan mengemukakan lagi cadangan kepada Menteri Kewangan II untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai kawasan bebas cukai bagi barangan-barang yang akan dikategorikan sebagai barangan yang tidak akan mendatangkan mudarat, iaitu bukan untuk arak dan juga bukan untuk rokok, tetapi untuk yang lain-lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak di Pejabat Penghulu Pulau Pangkor, pada Jumaat.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa projek penting bagi pertumbuhan di negeri itu, antaranya Bagan Datuk Water City, Perak Heavy Industrial Park, Next Gen Auto City dan Tapah Edu City.

“Dalam rancangan pembangunan tahun hadapan, kita mengharapkan Bagan Datuk akan jadi tumpuan pembangunan utama memandangkan beberapa insentif baru dan pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kerajaan, termasuk yang telah diumumkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pengumuman yang dibuat itu bukanlah janji-janji kosong, sebaliknya adalah perancangan serius kerajaan negeri untuk pembangunan menyeluruh negeri ini.

“Ada perancangan yang berjaya dilaksanakan dan ada juga yang terpaksa disemak semula berasaskan kepada keperluan masa dan tempat,” tambahnya.