BAGAN SERAI – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri diminta membantu menjadikan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Pulau Orang Utan sebagai kawasan eko-pelancongan terkenal.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata antara bantuan yang boleh diberikan adalah berbentuk promosi memandangkan BMLR merupakan antara 10 ikon pelancongan menarik di Perak.

“BMLR mempunyai pelbagai keistimewaan dan kemudahan seperti tasik, pulau orang utan, taman tema, resort dan kemudahan pembinaan pasukan.

“Selain itu, ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di Bagan Serai dan membantu memajukan ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran renang amal untuk Orang Utan di BMLR di sini hari ini.

Seramai 16 peserta menyertai renang amal sejauh 2.15 kilometer itu yang bermula dari jeti BMLR ke Pulau Orang Utan.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kedudukan BMLR yang dibina sejak 20 tahun lalu itu sangat strategik kerana terletak bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berkata sukan air seperti berkayak dan perlumbaan perahu naga juga boleh diadakan di kawasan tasik Bukit Merah kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah Dr D.Sabapathy berkata Pulau Orang Utan yang dibuka pada Februari 2000, kini menempatkan 24 orang utan.

Katanya sejak dibuka sehingga tahun lalu, seramai 6,116 pelajar telah mengikuti program pendidikan di pulau berkenaan.

“Orang Utan semakin pupus terutama di Sumatera, Indonesia dan Borneo, kerana itu kesedaran mengenai pemeliharaan Orang Utan ada di sini,” katanya.

Beliau berkata sempena Tahun Melawat Perak 2017 pihaknya menawarkan tiket masuk RM30 bagi dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak dan dibuka mulai 9 pagi hingga 5 petang, setiap hari.

-Bernama