BERUAS: Barisan Nasional (BN) akan membuat penilaian ketiga mengenai calon-calon yang berpotensi untuk Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjangkakan penilaian itu adalah yang terakhir sebelum PRU-14.

Menurut beliau, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya akan membuat penelitian yang sangat mendalam termasuk dari segi kajian di bawah dan sistem yang digunakan berdasarkan data dan fakta yang ada.

“Akhirnya kita kena faham, yang bertanding itu bulan calon parti tetapi calon BN, BN perlu menang, ini lain dari pendekatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran 100 tahun Beruas di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, prosedur itu adalah perkara yang biasa dalam BN yang telah diamalkan sejak dari dahulu lagi.

“Kita tidak berkelahi di kalangan kita, inilah semangat musyawarah yang ada dalam BN,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setiap kali hampir pilihan raya, BN akan membuat penilaian kawasan yang ada, membuat perbincangan dan membuat keputusan bersama.

“Kami tak buat kerja sembrono ataupun buat kerja suka hati, seolah-olah buat kerja sendiri.

“Dalam tradisi BN, kita adakan siri-siri perbincangan dan kalau kita buat keputusan, ia keputusan bersama seperti yang kita buat dalam pilihan raya lalu,” ujarnya.