KUALA LUMPUR : MCA yang sedang melalui proses peralihan dan pembaharuan akan bangkit bersama Barisan Nasional (BN) memerintah semula negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Chin Woon berkata, kini parti itu sedang mengkaji kesilapan lampau dan menguatkan jenteranya bersama komponen BN lain.

Katanya, gerak kerja terperinci sedang dilaksanakan bersama UMNO dan MIC selain menjalin kerjasama akrab untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menggantikan Pakatan Harapan.

“MCA yang kini mempunyai 1.08 juta ahli setakat ini sudah kembali semula sebagai komponen perikatan asal yang hanya terdiri daripada tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC berlandaskan formula semenjak kemerdekaan.

“Formula itu cukup baik bangunkan negara kian lama, tapi kita alami kekalahan dan sejak dua tahun kebelakangan ini berdepan pelbagai rintangan termasuk banyak parti keluar termasuk ada suara dalam MCA juga minta parti tinggalkan BN tapi kami akan terus kekal dan kerjasama dengan BN.

“Kita akan kembali kepada permulaan awal cara dialog dan perbincangan, banyak perkara sensititf telah dan boleh dibincangkan sekarang sekaligus memberi gambaran jelas apa kesilapan sebelum ini dan apa patut dibuat dan akan dilakukan nanti semasa memerintah jika diberi peluang kedua nanti supaya boleh manfaatkan semua kaum,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai Sambutan Ulang Tahun ke-71 penubuhan MCA di Wisma MCA hari ini.

Tambah beliau, adalah penting BN menganjak semula hala tuju ekonomi yang kini tidak menentu di bawah ketidakstabilan politik pemerintahan kerajaan semasa.

Menurut Chin Woon, isu peralihan kuasa Perdana Menteri merupakan antara faktor kurang keyakinan pelabur menanam modal di negara ini menyebabkan matlamat kerajaan tidak tercapai selain isu perkauman dan agama yang semakin teruk.

Berikutan itu, tambah beliau, MCA akan mengadakan lebih banyak dialog sesama parti komponen BN dan juga dengan orang ramai bagi pandangan dan input penyelesaian.

Sementara itu, Chin Woon berkata, Presiden parti itu, Datuk Seri Wee Ka Siong akan menyampaikan amanah pasa Sambutan Ulang Tahun ke-71 penubuhan MCA pada 20 Februari ini.

Katanya, Ka Siong akan menyampaikan mesej penting mengenai perlunya mengembalikan asas perjuangan parti sejak kemerdekaan yang bertemakan ‘Kebebasan Demokrasi Keadilan Bersama Kita Membina Malaysia Untuk Semua’.

Menyentuh mengenai pindaan pada perlembagaan parti membenarkan keahlian parti dibuka kepada penyertaan kaum lain, katanya, MCA sedang menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kami kemukakan perubahan perlembagaan itu pada tahun lepas sebelum RoS meminta kami ubah suai beberapa perkara yang dirasakan sebagai kesilapan,” ujarnya.-MalaysiaGazette