KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati jelas membuktikan peranan yang dimainkan UMNO / Barisan Nasional (BN) dalam mengangkat martabat golongan wanita, termasuk wanita muda.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak, Salbiah Mohamed berkata, wanita muda juga perlu memandang serius isu kelangsungan hidup dalam menuju era Revolusi Perindustrian 4.0.

Menurut beliau, dalam menghadapi revolusi industri 4.0, cabaran dan peranan Wanita bukan sekadar menjadi ibu atau suri rumah tetapi penglibatan secara total terutamanya ramai Wanita profesional.

“Beliau turut menggariskan mentaliti perjuangan yang harus ada dalam diri setiap ahli Puteri melalui pengaturan gerak kerja selain memperjuangkan soal wanita muda,” katanya kepada Suara Perak di sini, hari ini.

Mas Ermieyati ketika menyampaikan ucapan dasarnya menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan wanita meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan dunia menuju era Revolusi Perindustrian 4.0.

Beliau berkata, walaupun pelbagai inisiatif disediakan kerajaan, pemerkasaan wanita amat bergantung kepada usaha individu untuk membentuk diri menjadi lebih berdikari.

Katanya, bantuan keusahawanan kepada wanita seperti MyWin Academy, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN, jelas mampu mencungkil bakat perniagaan yang dimiliki oleh wanita muda pada hari ini.

Dalam pada itu, Salbiah berkata, perjuangan UMNO sentiasa konsisten tidak seperti pihak pembangkang yang hanya mementingkan diri atau kumpulan tertentu.