KUALA KANGSAR – Barisan Nasional (BN) masih dianggap sebagai ‘underdog’ dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ini kerana kemenangan yang dicapai oleh calon BN pada pilihanraya lalu cuma 1,082 undi.

Menurut beliau,  BN akan mengerakkan usaha yang lebih mantap bagi menghadapi tentangan parti lawan.

“Saya sebutkan bahawa di Kuala Kangsar ini, kita masih anggap diri kita sebagai `underdog’ kerana kemenangan yang kita perolehi cuma 1,082 dan kami akan adakan usaha kerana pihak lawan, sama ada PAS atau PAN atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan khas UMNO Perak di bilik gerakan Safari Resort, dekat sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussain

Katanya,  Dr Zambry telah mengumumkan pembahagian negeri-negeri angkat kepada kawasan-kawasan di Manong dan juga di Chandan.

Manakala bahagian-bahagian di negeri Perak juga, kata beliau, telah dibahagikan mengikut pusat daerah mengundi (PDM) bagi kesesuaian bahagian tertentu.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa empat peringkat telah memulakan gerak kerja dengan Wanita, Pemuda dan Puteri .

Beliau yakin,  jika gerak kerja itu diteruskan dan jika ada permasalahan dalaman, ia akan dapat diselesaikan.

Beliau juga menjelaskan bahawa calon bagi kerusi PRK Parlimen Kuala Kangsar akan ditentukan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Katanya,  beliau pernah menyebut sebelum bahawa hanya calon winnerble dan likeable yang akan ditentukan oleh  Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan PengerusiBN.

Kekosongan kerusi Parlimen P.067 Kuala Kangsar berlaku berikutan nahas helikopter di Sebuyau Sarawak yang mengorbankan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad.

Turut terkorban Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.