Titi Serong – Barisan Nasional (BN) diyakini akan terus menerajui negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata keyakinan itu berkait rapat dengan pendekatan yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir selama ini.
“Bukan saya terlalu yakin namun saya percaya rakyat Perak sangat senang dengan pendekatan Menteri Besar.
“Dan dengan segala pendekatan beliau ini menyebabkan rakyat akan terus memberi sokongan kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Parit Buntar di SK Titi Serong, dekat sini hari ini.
Dalam pada itu beliau yakin BN mampu menawan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong.
“Sudah tentu kita akan memperkenalkan calon dari pihak Kerajaan untuk bawa perubahan di kawasan ini, walaupun berkemungkinan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru kita akan berusaha sebaik mungkin,”katanya.