LANGKAP – Barisan  Nasional (BN) menghormati tuntutan agama yang mesti dipatuhi dan tetap meneruskan kempen bagi memenangi calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala kangsar pada 18 Jun depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, pemilihan Mastura amat bertepatan  dan BN menghormati tuntutan agama yang perlu dipatuhi calon itu.

Menurut beliau, soal berkempen pula tidak timbul kerana BN mempunyai jentera di peringkat bahagian, Parlimen, negeri dan pusat bagi membantu Mastura.

“Dalam dunia sekatang, berkempen tidak semestinya secara bersemuka, boleh menggunakan media sosial untuk menyatakan pendapat memberikan jaminan dan  komitmen kepada pengundi-pengundi.

“Alat komunikasi moden hari ini apa yang dipanggil ICT ini boleh dimanfaatkan untuk sesiapa juga calon, jentera ke untuk kita berkomunikasi dengan pengundi,’’ katanya.

Tajudin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Titian Budi 2016 di Arena Attaduri, di sini pada Ahad.

Beliau penuh yakin Mastura yang merupakan seorang profesional (peguam) yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti akan menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan Parlimen itu.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, keadaan tidak mengizinkan Mastura untuk turun berkempen, tidak akan memberi kesan kepada usaha mempertahankan kerusi tersebut.

“Oleh kerana kita memahami tuntutan agama, jadi Mastura tidak akan turun berkempen, maka kami jentera Wanita, Pemuda dan Puteri akan turun  mewakili beliau.

“Insyaallah kalau pengundi di Kuala Kangsar memberi mandat kepada beliau selepas sahaja edah, beliau akan teruskan perkhidmatan untuk rakyat,’’ katanya.

Shahrizat berkata demikian kepada media selepas pengumuman Mastura sebagai calon BN dan pelancaran jentera BN di Safari Resort, Kuala Kangsar semalam.

Beliau percaya pengundi akan  memahami tempoh edah yang perlu dilalui oleh Mastura susulan kematian suaminya, bekas penyandang kerusi itu, allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukum syarak mesti dipatuhi bagi seseorang wanita Islam yang baru kematian suami dan mesti tinggal di rumah sehingga tamat tempoh edah empat bulan 10 hari.

Beliau yang dihubungi di Singapura pada ahad berkata, kecuali berlaku darurat umpamanya sakit dan keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan maka ia dibenarkan.

Katanya, dalam situasi berkempen buat masa ini menurut hukum syarak, Mastura mesti tinggal di rumah,  tidak boleh keluar berkempen dan orang (pemimpin dan jentera BN) perlu turun berkempen untuknya.

Beliau berharap pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar memahami dan menghormati tuntutan agama iaitu perintah yang telah ditetapkan di dalam hukum syarak.