LABUAN: Barisan Nasional (BN) yakin meraih sokongan padu daripada pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di wilayah ini berdasarkan sambutan memberangsangkan masyarakat itu kepada gabungan berkenaan.

Pengerusi BN Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, gelombang sokongan pengundi Cina jelas kelihatan selepas mereka sedar tiada hasil serta perkembangan yang ditunjukkan sepanjang menyokong pembangkang.

“Jelas kelihatan di Labuan, ramai kaum Cina balik ke pangkuan MCA dan Gerakan kerana sedar bahawa parti pembangkang tidak dapat memberi sumbangan kepada rakyat di wilayah ini.

“Saya telah meninjau dan bertanya kepada masyarakat di akar umbi. Mereka (pengundi Cina) juga berkata inilah masanya (PRU-14) undi akan datang kepada BN,” katanya pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan di sini, malam tadi.

Sambutan perayaan itu dimeriahkan lebih 5,000 masyarakat Tionghua yang turut disertai pelbagai kaum.

Rozman berkata, kehadiran yang memuaskan itu adalah antara petanda positif pengundi akan terus kekal bersama BN pada PRU-14.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata, BN menerusi MCA dan Gerakan gigih meraih kembali kepercayaan rakyat agar dapat bersama memberi fokus terhadap agenda transformasi.

“Labuan menjadi bandar terancang untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan negara,” katanya, dimana penduduk diminta beri kekuatan kepada BN untuk melonjakkan lagi pulau ini. “BN dalam pentadbiran negara yang mempunyai kuasa dan sumber lebih besar. Sebab itu saya ajak kaum Cina memberi sokongan padu agar kita dalam kerajaan dapat guna sumber yang ada bagi membantu mereka semula,” katanya – berita harian