Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry berkata, UMNO akan meletakkan calon yang dikenali dan boleh diterima oleh pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Beliau yang baru diumumkan sebagai Pengarah PRK Kuala Kangsar berkata, calon yang dipilh hendaklah mempunyai ciri-ciri yang mampu membawa kemenangan kepada parti.

 

 

Dr Zambry berkata calon BN tersebut juga merupakan seseorang yang mendapat tempat di hati penduduk sekitar Kuala Kangsar dan diterima ramai bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada parti tersebut.

Menurutnya, kesemua kriteria itu akan menjadi pemangkin utama kepada kemenangan menyeluruh bagi menggantikan  legasi bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, arwah Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di kawasan itu.

BACA: PRK Kuala Kangsar: Kamil Tidak Minat Jadi Calon

“BN Perak tidak akan memilih berdasarkan keputusan individu semata-mata sebaliknya pendapat dan maklum balas penduduk di sekitar Kuala Kangsar dan peringkat akar umbi akan diambil kira.

“Tidak timbul soal calon luar mahupun tempatan namun yang pastinya calon tersebut adalah seseorang yang diterima, disukai dan akan membawa kemenangan kepada BN dalam PRK kali ini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua bahagian di Pejabat UMNO Perak pada petang Jumaat.

Beliau yang juga Pengarah PRK Kuala Kangsar berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama dengan pihak pentadbiran kerajaan dan keseluruhan jentera PRK di Kuala Kangsar pada sebelah pagi Jumaat.

BACA: PRK Kuala Kangsar: Makkah Sakhti, PPP Mahu Calon Tempatan

Katanya, keseluruhan jentera BN telah bersiap siaga dari segi persiapan serta perancangan penuh malah kaji selidik telah dilaksanakan bagi memastikan jentera PRK kali ini berjalan dengan lancar.

Tegasnya, tidak timbul persoalan parti komponen mahupun perpecahan di dalam parti BN yang telah menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi ke atas calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan atas.

“Saya akan bermesyuarat bersama dengan Pengerusi BN sendiri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan melaksanakan kaedah musyawarah untuk memastikan ketelusan dalam penentuan calon kali ini,”ujarnya.

Dr Zambry berkata legasi arwah Datuk Wan Mohd Khair-il perlu diteruskan dan tidak begitu banyak permasalahan yang memerlukan penambahbaikan kecuali yang melibatkan pelan jangka panjang di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

Tambahnya, ADUN Manong iaitu Mohd Kamil Shafie akan menyandang jawatan Pemangku Ketua Bahagian Kuala Kangsar dan akan melaksanakan tugas sebagai penolong pengarah PRK Kuala Kangsar. – Suara Perak