IPOH: Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU-14), jika setiap ahli parti komponen yang menjadi pengundi, mencari sekurang-kurangnya dua lagi pengundi untuk parti itu.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, mengikut daftar sehingga Jun 2017, kira-kira 350,000 daripada 1.49 juta pengundi berdaftar di Perak adalah ahli parti komponen BN.

Menurut beliau, jika setiap ahli itu mencari dua lagi pengundi bukan ahli parti komponen BN untuk mengundi BN, undi parti itu melebihi satu juta.

“Jika mengikut perkiraan mudah, undi lebih satu juta itu bolehkan kita menang selesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Konvensyen MyPPP Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sana Naib Presiden MyPPP, Datuk Seri M. Gandi, Ketua Wanita MyPPP Kebangsaan, Helen Mening Sagang dan Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng.

Saarani memberitahu, 38 peratus pengundi Melayu di negeri ini adalah ahli UMNO manakala 23 peratus pengundi Cina pula terdiri dari ahli MCA.

Di samping itu, katanya, 40 peratus mengundi India di negeri ini adalah ahli MIC manakala 4.54 peratus pengundi lagi adalah ahli Gerakan.

Beliau berkata, BN Perak juga mensasarkan untuk menawan kembali sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam Parlimen pada PRU-14.

Sehubungan itu, beliau berharap ahli-ahli parti komponen BN akan bekerja lebih kuat untuk memperolehi kemenangan selesa supaya tidak diperlekehkan oleh pembangkang.

Sementara itu, Ong memberitahu, MyPPP Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas di enam bahagian bagi membantu BN menawan semula kerusi-kerusi DUN dan Parlimen di bahagian-bahagian berkenaan.