KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan PAS memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada Dr Mahathir.

“Kita membuat ketetapan bahawa sokongan kepada Perdana Menteri untuk membentuk gabungan tanpa DAP, terpaksa kita tarik balik.

“SD yang kita sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dengan hanya terhad kepada pembentukan gabungan baharu tanpa DAP.

“Apa-apa selain daripada itu, sokongan tidak sah. Justeru sokongan pada Ahad lalu, kita tarik balik,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata gabungan mereka juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan cubaan untuk merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang berlaku ialah maklum balas terhadap kerajaan PH yang runtuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar PH, manakala beberapa pemimpin PKR pula mengumumkan keluar parti itu.

“Parti dalam kerajaan sudah berpecah dan pada peringkat awal, (kita) bersetuju pada dasar untuk bekerjasama dalam blok pembangkang.

“Kami mendapat lebih 130 kerusi dan dalam proses terakhir untuk memeterai satu pakatan baharu, iaitu Perikatan Nasional,” katanya.

KRISIS POLITIK | BN & Muafakat Nasional Setuju Bubar Parlimen

KRISIS POLITIK | Setuju Bubar Parlimen & Tarik Balik Sokongan Kerana Penglibatan DAP Barisan Nasional, PAS, UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah bersetuju untuk membubarkan parlimen serta mengembalikan "mandat" kepada rakyat untuk memilih dalam Pilihan Raya Umum akan datang.Justeru mereka memohon perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pembubaran parlimen dibuat. Alasan itu menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ekoran keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang bertindak untuk memilih individu sebagai calon dalam jemaah menteri mendahului keputusan parti.Dalam perkembangan sama Barisan Nasional, PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah mengumumkan menarik balik sokongan yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir. Perkara itu disebabkan Tun Dr Mahathir mahu membentuk kerajaan dengan penglibatan DAP dalam kerajaan perpaduan termasuk melantik menteri berdasarkan kapasiti individu dan bukan parti.

Posted by Buletin TV3 on Selasa, 25 Februari 2020