SUNGAI PETANI: Di sebalik riak wajahnya yang tenang, nelayan dari Tanjung Dawai, Ismail Hamid sentiasa resah memikirkan masa depan keluarganya.

Pada usia 68 tahun, Ismail bersama isteri dan anak mereka tinggal dalam sebuah rumah yang dibina di atas tanah milik rakan.

Ismail bimbang sekiranya apa-apa terjadi kepada dirinya, keluarganya mungkin akan kehilangan tempat tinggal kerana tanah itu bukan miliknya.

“Apabila difikirkan, sampai bila saya ingin tinggal di rumah lama yang menumpang di atas tanah orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail akhirnya lega apabila muncul sebagai seorang daripada 300 nelayan di sini yang terpilih untuk Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai.

“Sekarang, saya tidak perlu lagi bimbang dengan nasib keluarga. Masa depan keluarga saya kini lebih terjamin kerana mempunyai rumah di atas tanah sendiri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Projek ini adalah bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela golongan nelayan untuk memiliki rumah yang selesa.

Kediaman yang sudah lebih sebulan didiami itu memberi kelegaan kepada nelayan Tanjung Dawai dalam mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna bersama keluarga masing-masing.

Turut berkongsi kegembiraan adalah Sumpit a/l Naitiang (Siam), 52, yang berkata impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai selepas permohonannya diterima.
Katanya, selama ini beliau, isteri dan seorang anaknya terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak di kawasan berhampiran yang turut didiami oleh abangnya.

“Kemudahan ini benar-benar membantu saya untuk memiliki rumah sendiri selepas sekian lama menyimpan impian menyediakan rumah yang selesa buat anak dan isteri namun tidak mampu.

“Usaha kerajaan ini amat membantu kami golongan nelayan memiliki rumah sendiri dengan kadar bayaran yang tidak membebankan,” katanya.

Norma Ahmad, 56, berkata kehidupan mereka sekeluarga kini lebih terurus berbanding sebelum ini yang terpaksa tinggal di sebuah rumah dengan 11 penghuni yang terdiri daripada suami, anak, menantu termasuk empat cucunya.

“Kehidupan memang tidak selesa kerana rumah yang saya diami waktu itu adalah rumah tinggalan arwah nenek yang saya sendiri tidak tahu sampai bila mampu bertahan,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan turun melawat kawasan perumahan ini sebagai sebahagian daripada lawatan kerja dua hari beliau di Kedah.

Beliau dijadualkan untuk merasmikan kawasan perumahan terbabit yang dikenali sebagai Perumahan Nelayan Muafakat Kedah.

Sebelum itu, beliau akan bersarapan bersama penduduk setempat di Pantai Murni, Yan, jam 10.15 pagi dan pada sebelah petangnya akan mengadakan perjumpaan bersama masyarakat Siam di Perkampungan Chanding, Padang Terap.

Perdana menteri pada malam esok akan mengadakan menghadiri majlis pertemuan dengan Umno Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan, Jitra.

Lawatan Najib pada hari kedua diteruskan dengan sarapan bersama penduduk di Sekolah Kebangsaan Pondok Tanjung Kapor di Jitra sebelum melancarkan Bantuan Khas Pesawah peringkat kebangsaan di Pertumbuhan Desa Sungai Korok, Alor Biak pada jam 11 pagi – berita harian