IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak akan melakukan proses pemutihan bagi mengenalpasti jumlah sebenar ahli dan penyokong parti itu di Kuala Kangsar yang dapat keluar mengundi pada pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, mereka yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu bukanlah kerana memboikot calon BN tetapi lebih kepada dari segi proses pemutihan.

Menurut beliau, nama mereka masih ada di dalam senarai tetapi sebenarnya telah meninggal dunia dan mungkin yang tinggal di negeri-negeri lain seperti di Johor dan Pahang.

“Kita telahpun melihat jumlah sebenarnya berapa ahli parti dan berapa bilangan penyokong BN yang dulu tidak keluar mengundi dan bagaimana kita hendak memastikan supaya mereka dapat keluar dan mengundi kali ini.

“Kita akan mengenalpasti mereka ini dan kita akan juga membuat proses pemutihan ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia semalam yang menyebut pada Pilihan Raya UMUM ke-13, terdapat lebih 2,000 anggota UMNO yang mempunyai jawatan dalam parti tidak mengundi.