LENGGONG: Barisan Nasional (BN) negeri disaran kaji penggunaan aplikasi baharu yang dicipta BN Perak untuk mengetahui status pemilih ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 secara tepat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, aplikasi yang belum diberi nama itu akan membolehkan parti melihat bilangan pengundi yang keluar mengundi pada PRU-14 secara real time.

Menurut beliau, ia penting bagi mengetahui jumlah kedudukan pemilih yang telah mengundi dan belum mengundi supaya tindakan dapat dibuat secara serta merta.

“Aplikasi ini saya rasa patut dikaji oleh (BN) negeri lain, saya telah tengok banyak sistem yang dipakai namun, ini antara yang terbaik kerana boleh melaporkan secara tepat masa.

“Malah, ia sesuai untuk semua kawasan sama ada yang ada kemudahan internet atau tidak,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Karnival dan Pelancaran Jentera BN Lenggong di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata aplikasi berkenaan merupakan pelengkap kepada sistem sedia ada iaitu ‘Get The Voters Out’.

“Jika sistem sebelum ini, kita hanya boleh mengetahui kedudukan kita sekurang-kurangnya tiga jam selepas waktu mengundi bermula tetapi dengan aplikasi ini kita boleh mengetahui kedudukan kita secara real time.

“Sama ada pengundi putih sudah keluar mengundi atau tidak, kalau belum siapa yang belum keluar mengundi, di mana mereka, siapa yang jaga, mana kenderaan mereka kita boleh cari setiap waktu,” katanya.

Tambah beliau, aplikasi tersebut ketika ini sedang diuji di Lenggong sebelum diperluaskan ke 23 kawasan Parlimen lain di seluruh Perak.