IPOH – Barisan Nasional (BN) akan memberi fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan bersedia menghadapi apa sahaja isu, termasuk provokasi yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan pembangkang menang.

Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, adalah menjadi tanggungjawab anggota parti itu untuk mempertahankan UMNO dan BN, khususnya daripada sebarang provokasi dan serangan pihak tertentu.

Menurut beliau, apa yang penting ketika ini ialah memberi fokus kepada persiapan untuk menghadapi PRK dengan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang BN sebelum ini.

“Dalam setiap PRK, sudah tentu adanya cabaran yang akan kita hadapi. Jikalau
dahulu cabaran datangnya daripada pembangkang namun kali ini cabaran daripada bekas Perdana Menteri pula.

“Kita perlu menyusun strategi untuk berhadapan dengan cabaran sedemikian.  Saya lebih suka pendekatan yang diamalkan selama ini ketika kita mengendalikan pilihan raya kecil atau pilihan raya umum di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat industri penghasilan jentera, Bromma (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Kinta di Chemor pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kenyataan Tun Mahathir yang meletakkan harapan besar agar parti pembangkang dapat menewaskan BN pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Dr Zambry mengingatkan ahli-ahli UMNO jangan sekali-kali melakukan perbuatan mensabotaj parti sehingga boleh menjejaskan usaha untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun nanti.

“Kita tidak boleh berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang mengkhianati parti. Tindakan terhadap pengkhianat parti ialah dengan
mengeluarkan mereka daripada parti.

“Ini bukan hanya dalam konteks BN sahaja kerana pembangkang juga akan melakukan perkara yang sama jika anggota mereka didapati mensabotaj parti,”
ujarnya.

Bliau turut mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti supaya akur dan bersetuju untuk menyokong sesiapa sahaja yang akan dicalonkan mewakili BN pada PRK itu nanti.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bersama-sama terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 lalu. Turut terkorban dalam nahas itu anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor, Datuk Noriah Kasnon.

Jumaaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calon pada 5 Jun.