MANJUNG: Barisan Nasional (BN) Perak menggunakan pendekatan musyawarah bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak dan berpotensi menang sahaja dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketika pilihan raya sudah semakin hampir sekarang, BN perlu lebih memperhalusi kedudukan calon-calon yang layak.

“Kadangkala kita rasa bahawa orang ini paling layak tetapi ada aspek-aspek lain yang perlu kita buatkan keputusan.

“Dalam masa yang sama, biasanya kita juga akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan presiden parti-parti komponen mengenai calon-calon kerana saya tidak mahu melangkaui mereka,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program kenduri sekampung di pekarangan surau Nurul Iman Kg Teluk Penchalang, Pasir Panjang, dekat sini, pada Khamis.

Dr Zambry berkata, beliau juga telah mengingatkan presiden parti-parti komponen agar calon-calon biarlah mereka yang ada potensi untuk menang di kawasan yang berkenaan.

“Adalah malang sekiranya calon-calon hanya dipilih berdasarkan kepada penilaian yang tidak memberikan kebaikan kepada potensi untuk kemenangan,” ujarnya.

Selain itu, kata Dr Zambry, adalah malang juga sekiranya meletakkan calon-calon yang tiada potensi untuk menang di kawasan-kawasan yang sebenarnya boleh dimenangi oleh BN.

“Prinsip Barisan Nasional, kita sentiasa berbincang bersama, prinsip musyawarah itu sangat penting, sebab itulah kita jarang mendengar masalah-masalah kuta dibincangkan secara terbuka,” tambah beliau.

Dalam pada itu, kata Dr Zambry, di peringkat akhir menjelang pilihan raya ini, BN memasuki pusingan untuk menentukan calon-calon yang benar-benar layak.

“Kalau sebelum ini saya membuat kenyataan kita telah ada calon yang sesuai, tetapi apabila memasuki pusingan akhir seperti sekarang, kita perlu lebih memperhalusikan kedudukan calon yang betul-betul layak,” kata beliau.