IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak telah mengenalpasti beberapa orang penjawat awam yang berpotensi untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke – 14 akan datang.

Calon-calon itu sedang diperhalusi untuk bertanding sama ada di kawasan Parlimen atau pun di Kawasan Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, apa yang penting ialah perpaduan dan ketahanan dalaman di kalangan parti-parti komponen.

4df2f653-7639-4ce9-9eea-fd682e49cbe4

“Pendekatan BN ialah kita mengambil segala potensi yang ada kerana kita bukan hanya bermain dengan politik tetapi kita mengurus.

“Dalam konteks pengurusan politik dan pentadbiran, maka kita memerlukan kepelbagaian latar belakang itu dan dari segi sejarahnya pun kita ada.

“Sebelum ini kita mempunyai kalangan profesional yang kita masukkan untuk menjadi calon-calon kita, demikian juga calon-calon wanita, lelaki, anak-anak muda dan kalangan profesional, semua ini akan diambil kira untuk kita kemukakan nanti calon-calon kita nanti dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis santai bersama penjawat awam sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta di Kolej Sains Bersekutu Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, ADUN Manjoi, Mohamed Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kinta yang memangku tugas Pegawai Daerah, Shahrul Azam Shaari.

Ditanya mengenai kemungkinan mengambil langkah perundangan untuk menghentikan pelbagai fitnah yang ditabur pemimpin pembangkang, Dr Zambry berkata, ia bukan menjadi pendekatan BN.

Sebaliknya, kata beliau, BN mengambil pendekatan untuk memberi penjelasan terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan pemimpin pembangkang.

“Saya lebih melihat ianya kepada permainan propaganda dan isu politik, maka kita perlu tangani dalam konteks yang sama iaitu kita memberikan penjelasan.

“Pendekatan Barisan Nasional, kita tidak begitu pantas untuk membuat tindakan undang-undang dan sebagainya.

“Cara pendekatan undang-undang ialah mereka, belum apa-apa lagi, kalau dia rasa terlampau pedih sangat, maka pendekatan yang paling mudah pada dia ialah dengan mengambil pendekatan itu (undang-undang),” ujarnya.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Menteri Besar berharap kerjasama dalam satu pasukan di kalangan penjawat awam dapat diteruskan kerana ia telah memberi banyak kejayaan kepada Perak.