IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak komited untuk meringankan kos sara hidup rakyat, sehingga dicontohi oleh pelbagai pihak.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak tiga tahun lalu, kerjaaan negeri telah menggerakkan pelbagai usaha dalam membantu mengurangkan kesusahan penduduk dengan menyediakan kedai bergerak Amanjaya di kawasan-kawasan pedalaman.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengupayakan penduduk, tetapi turut mendapat pengiktirafan dan dijadikan contoh negeri-negeri lain.

“Kita tahu apa yang rakyat rasa, kita lihat keadaan dan fikir bagaimana untuk mengurangkan kepayahan ini, kerana itu kita sediakan lori-lori bergerak dan masuk ke kawasan kampung-kampung bagi menjual barang keperluan dengan harga jauh lebih murah.

“Sekarang ini, negeri lain ikut cara kita, kerajaan Persekutuan juga lihat bagaimana cara kita laksanakan,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN Perak di sini, hari ini.

Melalui program Kedai Bergerak 1 Amanjaya, diskaun 10 peratus diberikan ke atas barangan yang dijual dan 15 peratus kepada penerima bantuan kebajikan masyarakat, Baitulmal dan e-kasih.

Komitmen dan kesungguhan kerajaan BN itu dizahirkan melalui tekad kedua manifesto iaitu meringankan kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Antara yang terkandung dalam teras berkenaan adalah mewujudkan pusat pengedaran Kedai Bergerak Amanjaya di setiap daerah.

Di samping itu, mewujudkan jaringan majikan pintar dengan tawaran kerja oleh 1,000 syarikat swasta melalui program brain gain iaitu menjana peluang pekerjaan di negeri sendiri.

Program-program kiosk Amanjaya, ladang rakyat / asnaf dan mikro kredit untuk kluster keluarga dan pelancongan akan diteruskan.

Dr Zambry memberitahu, sejak lima tahun lalu, lebih 40,000 peluang pekerjaan telah dijana di negeri ini untuk diisi anak-anak Perak dari pelbagai peringkat kelulusan akademik.

Sehubungan itu, kata beliau, peranan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) akan diperkasakan lagi.

BERITA BERKENAAN : Manifesto Perak: Bukan Gula-Gula Tapi Visi Dan Misi Membangunkan Negeri

1/4