TANJUNG MALIM – Barisan Nasional (BN) adalah parti pemerintah yang sentiasa mengotakan janji yang dibuat kepada rakyat, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, sebagai bukti manifesto BN Perak yang dilancarkan pada 21 April lalu mengandungi janji membantu golongan belia memiliki kediaman sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri itu.

“Majlis Pecah Tanah Rumah Transit Belia 1MYC, Perak di Tapak Cadangan Rumah Transit Belia Tanjong Malim membuktikan bahawa BN telah berjaya mengotakan salah satu manifesto PRU14 walaupun belum selesai pilihan raya umum.

“Tanjong Malim dipilih untuk wujudkan bukan hanya Rumah Transit Belia malah satu perancangan besar kepada anak-anak muda selaras dengan perancangan menjadikan kawasan ini sebagai bandar belia.

“Dan perkara ini adalah antara aku janji kepimpinan BN di Perak iaitu untuk membantu golongan belia memiliki rumah idaman,” kata Pengerusi BN Negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian majlis tersebut bersebelahan Stesen KTM/ETS Tanjung Malim, di sini hari ini.

Turut hadir ialah calon Parlimen Tanjung Malim, Datuk Dr Mah Hang Soon, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Datuk Khushairi Abdul Talib dan calon DUN Behrang, Datuk Rusnah Kassim.

Kawasan Tanjong Malim menjadi antara fokus utama untuk negeri Perak dalam aspek pembangunan seperti dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018, tambah Zambry.

“Apa yang rakyat dapat nikmati dari semua ini, itulah penekanan yang kita berikan kepada negeri Perak. Inilah peranan yang dimainkan oleh BN.

“Kita rancang sebaiknya. Kita janji kepada rakyat apa yang kita boleh laksanakan. Kita tak janji bulan dan bintang,” katanya lagi.

Sebanyak 308 unit Rumah Transit Belia 1MYC bakal dibina di Tanjung Malim, dia atas dua lot tanah berukuran 3.5 ekar dan 3.3 ekar.

Bangunan 30 tingkat dengan empat blok tersebut bakal dibina dengan dua pilihan iaitu rumah studio satu bilik seluas 400 kaki persegi atau rumah studio dua bilik dengan keluasan 550 kaki persegi dan dilengkapi dengan perabot asas.

Inisiatif ini diwujudkan dan dilaksanakan bagi membantu golongan muda berpendapatan sederhana sebagai rumah transit (sewa) sehingga mampu memiliki kediaman sendiri.

Kaedah yang digunakan dimana penyewa akan membayar kadar sewa yang ditetapkan dimana separuh dari kadar itu akan ditabungkan dalam tempoh lima tahun maksimum.

Apabila mereka keluar dari rumah transit berkenaan maka kerajaan akan menyerahkan semula wang tabungan dari nilai sewa dan ia kemudian boleh dijadikan sebagai deposit rumah kediaman impian di masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Peladang Muda, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Kassim Yaacob, 35, menyusulkan agar Rumah Transit Belia tersebut bakal ditambah dan dibina di lebih banyak kawasan di dalam Tanjung Malim.

“Fokus pembinaan di sini kerana ini adalah bandar belia, namun jika kerajaan mendapat kawasan lain yang sesuai mungkin boleh dibina di antara Trolak hingga ke Slim River,” kata beliau.

Fauziah Abd Latif, 64, salah seorang pengunjung yang hadir berkata pembinaan Rumah Transit ini bertepatan dengan kehendak semasa belia di situ.

“Walaupun baru majlis pecah tanah, saya dapati ia mendapat sambutan dan menarik minat orang muda yang mula mendapatkan maklumat bagaimana mereka boleh memohon untuk rumah ini,” kata beliau yang berasal dari Taman Malim Indah.

 BERITA BERKENAANMuafakat Bangunkan Parit – Drs Nizar

1/6