IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak telah memulakan proses mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN negeri berkata, proses tersebut akan menilai prestasi wakil rakyat sedia ada dan mengenal pasti potensi calon-calon baharu.

“Kita akan menilai prestasi wakil rakyat sedia ada sama ada dikekalkan atau sebaliknya dan melihat calon-calon berpotensi yang disukai rakyat.

“Kita akan membuat proses penyegaran parti pada PRU depan, mereka yang mempunyai kelayakkan sebaiknya, tanpa juga kita melupakan calon akar umbi,” katanya dalam satu sidang media di Ipoh pada Isnin.

Tambah beliau, BN Perak juga akan memberi tumpuan sepenuhnya secara sama rata kepada 59 kerusi yang akan dipertandingkan di negeri ini.

“Bagaimanapun kita perlu praktikal, 31 kawasan yang kita telah menang, sudah tentu kita akan pertahankan.

“Demikian juga dengan kawasan-kawasan yang bukan sahaja kita menang dengan tipis tetapi juga kawasan yang kita kalah secara tipis, kita mempunyai peluang besar untuk menang semula kawasan berkenaan,” tambah beliau.

Mengenai pembahagian dan perubahan kerusi di kalangan parti komponen, Dr Zambry menjelaskan, perkara itu akan dibuat melalui perbincangan dalaman di kalangan wakil-wakil parti di bawah BN.

“Ini merupakan fleksibiliti yang terdapat di dalam BN, kita akan bawa berbincang sesama kita, ini kaedah yang diguna pakai…kita tidak bergaduh.

“Nama-nama calon sudah diberikan oleh parti komponen melalui perbincangan tidak langsung, namun ianya masih belum muktamad,” ujar beliau.