IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak telah menyerahkan senarai calon Pilihan Raya Umum (PRU14) kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan dengan mengetengahkan hanya muka-muka yang berpontensi memberi kemenangan kepada parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dengan penyerahan senarai calon itu, BN Perak kini berada dalam saat-saat akhir sebelum pengumuman pembubaran Parlimen.

Menurutnya pemilihan calon tidak lagi menggunakan amalan tradisi iaitu sistem kuota parti komponen atau dominasi sesuatu parti bagi kawasan-kawasan yang akan ditandingi BN.

Dr Zambry, yang juga Menteri Besar Perak berkata sebaliknya faktor calon yang boleh membawa kemenangan pada BN diletakkan sebagai keutamaan.

“Pemilihan calon kali ini sangat teliti. Sekiranya kita pilih calon berdasarkan satu-satu tempat hanya kerana ianya adalah kuota ataupun tempat tradisi calon sesuatu parti ini bertanding, akhrinya apabila ia tidak memberikan kemenangan kepada BN, bermakna ianya tidak memberikan apa-apa hasil.

“Sebab itu, kita membuat penilaian yang akan memberikan kemenangan kepada BN, jadi soal samada parti itu akan bertanding (di tempat ini tempat itu), sama ada kekal di kawasan ini atau itu, adalah keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan berdasarkan kawasan.

“Sekiranya dia tidak boleh bertanding, dan dari segi peluang memenangi kawasan tiada jadi tentunya kita memikirkan kaedah lain,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata tidak menjadi satu perkara yang luar biasa sekiranya seseorang wakil rakyat itu bertanding bagi dua kerusi misalnya sebagai Ahli Parlimen dan ADUN pada masa yang sama.

Menurutnya, amalan itu merupakan kebiasaan baik di pihak kerajaan serta pembangkang justeru ianya bukanlah satu kelainan dalam dunia politik

Jelasnya, pemilihan dua kerusi bagi satu calon bukanlah menandakan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai calon sebaliknya keputusan itu ditentukan berdasarkan kemahuan pucuk pimpinan yang menginginkan perkhidmatan calon berkenaan.

Dr Zambry menambah, bagi konteks negeri Perak kesemua penilaian akan dipertimbangkan dan wujud peluang yang sama rata bagi calon berpotensi bagi kerusi samada di peringkat DUN atau Parlimen.

“Ianya bukanlah benda asing atau seolah-olah hendak menggambarkan bahawa kita sudah tidak ada calon dan sebagainya, kalau alasan itu digunakan maka pembangkang pun sama tetapi itu bukanlah perkiraannya.

“Semua pemilihan kerusi itu, diambil berdasarkan kemahuan pucuk pimpinan yang lebih bersifat menginginkan perkhidmatan calon-calon yang berkenaan

“Di dalam konteks negeri Perak, kita akan terus melihat dan membuat penilaian samada keperluan ini perlu diberikan kepada wakil rakyat, tidak boleh menutup semua pintu seperti mana juga peluang bagi setiap calon yang berpotensi, samada dia hendak bertanding di peringkat DUN dahulu, Parlimen sekarang atau sebaliknya atau kedua-duanya sekali,”ujarnya lagi.