KAMPAR: “Kalau dengarkan apa yang mereka cakap memanglah berdegar-degar, pedulikan kata-kata mereka yang penting kita (Barisan Nasional) buat kerja untuk rakyat,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry.

Beliau memberi komen berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berhasrat untuk menjadikan negeri Perak sebagai anak angkat dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ujar Dr. Zambry, pihak pembangkang bebas menyuarakan apa-apa pendapat namun kerajaan BN akan sentiasa memastikan khidmat kepada rakyat didahulukan.

“Itu hasrat mereka, mungkin lepas ini kita akan dengar daripada pihak DAP pula nak jadikan adik angkat ataupun yang lain-lain nak jadikan mak angkat.

“Macam-macam mereka sebut tentang Perak, nak angkat itulah nak angkat inilah. Biarlah mereka hendak suarakan apa pun, kita tak payah pedulikan.

“Kita tidak perlu mendabik dada, yang penting BN terus berkhidmat kepada rakyat, ” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Vasaikhi Tahun 2017 Peringkat Negeri Perak di Padang Astaka, Kampar pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut beramah mesra bersama pengunjung yang hadir di samping melawat gerai-gerai jualan yang mengambil bahagian bersempena ruma terbuka tersebut.