IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai sebuah parti dan kerajaan, adalah mustahil untuk beliau mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai keyakinan.

Menurut beliau, sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan gerak kerja yang akan dilakukan, beliau tidak mahu hanya mengeluarkan kenyataan semata-mata, tanpa sokongan fakta.

“Kita juga mempunyai pendekatan yang kita lakukan untuk membuat penilaian kepada tahap-tahap sokongan dari semasa ke semasa rakyat terhadap kita dan juga kita melihat dari segi ruang-ruang yang boleh kita perbaiki.

“Kesimpulannya, dari segi tahap keyakinan sama ada kita mempunyai keyakinan yang lebih atau tidak, saya mahu simpulkan bahawa insya Allah kita bekerja dalam suasana yang penuh dengan taktikal dan bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa pada pilihan raya akan datang ini kita akan memberikan kemenangan yang lebih daripada hari ini.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mendahului Tuhan kerana sebagai seorang muslim, itu adalah tidak wajar,” katanya dalam terramah khas dengan wartawan Berita Harian di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Dr Zambry berkata, mereka akan memastikan bahawa kerajaan yang ada sekarang dikekalkan di samping berusaha untuk menambah bilangan kerusi yang dimenangi, berpandukan perkembangan geo-politik semasa dalam negara dan gerak kerja yang dilakukan selama ini.

Ditanya mengenai perubahan geo-politik tanahair dengan kewujudan parti baru seperti PAN dan Peribumi yang menyebabkan kemungkinan undi Melayu semakin berpecah, Dr Zambry berkata, ia bukanlah sesuatu yang baharu.

Menurut beliau, pada PRU-13 yang dikatakan ibu kepada segala pilihan raya, dua parti dominan Melayu iaitu UMNO dan PAS berada di dua pihak yang berbeza, tetapi BN masih memperolehi kemenangan.