LUBUK MERBAU: Barisan Nasional (BN) perlu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan kekuatan sendiri dan tidak mengharapkan bantuan daripada parti lawan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, BN tidak boleh mengharapkan sebarang kerjasama daripada parti lawan bagi menentukan kejayaannya pada PRU-14.

“Dalam menghadapi PRU kita tak boleh mengharapkan kepada parti lain, kita mesti menghadapai dengan kekuatan sendiri, kalau mereka beri kerjasama itu bonus.

“Jadi kepada saya, saya tidak peduli dan mengesahkan keupayaan parti lain, yang penting BN mesti bekerja berasaskan kepada kekuatan kita sendiri,” katanya dalam satu sidang di Lubok Merbau pada Ahad.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memberitahu agak sukar untuk beliau membayangkan kerjasama di antara UMNO dan PAS atau mana-mana parti lain selain parti komponen di bawah BN pada PRU akan datang.

“Saya lihat sukar untuk kita nak kerjasama dengan dia sebab kerusi UMNO bertanding itu dia bertanding, jadi bentuk apa kerjasama yang dimaksudkan?

“Saya tak kisah atau mengharapkan lah kerjasama, yang penting kita mesti menang dengan kekuatan sendiri dan jangan harapkan orang lain..itu yang akan saya buat di Parlimen Padang Rengas,” jelas beliau.