Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Tak perlulah panggil media, pulangkan kenderaan rasmi. Itu dah jadi amanah seorang exco kerajaan negeri seperti kami,”

Demikian kenyataan ringkas namun sinis Exco Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohd Zahir Abd Khalid mengenai tindakan beberapa kepimpinan negeri pembangkang yang seakan dahagakan publisiti baru-baru ini.

Jelasnya, bagi kebanyakan pemimpin Barisan Nasional di Perak khususnya, amalan mengembalikan kenderaan rasmi sebaik sahaja selesai Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah perkara rutin dan biasa sebaik sahaja penggal mereka berakhir.

“Jumaat lepas, dah saya kembalikan kereta itu selepas mesyuarat Exco terakhir tanpa sebarang keinginan untuk menonjolkan diri, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain.

“Alaa…benda itu biasalah, kereta tersebut kami kembalikan sama juga seperti masa PRU-13 pada 2013, tak usah menyusahkan media…ini kewajipan kami,”katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bekas Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin turut bersetuju bahawa tindakan menguar-uarkan pengembalian kenderaan rasmi itu dilihat sebagai menagih perhatian.

“Kami (exco) semua di Perak tak kecoh sikit pun nak pulangkan kenderaan, sedangkan PRU lepas pun serah selepas bubar…tak perlu pun kami panggil media.

“Kenderaan itu digunakan untuk melunaskan amanah, melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Exco dan wakil rakyat bagi saya, sesudah bubar, kami sudah tahu kena bagi balik…bezanya tak perlu kami panggil liputan,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAANPemuda UMNO Buat Laporan Kes Cabut Bendera BN

BERITA BERKENAANKanvas Belia TN50 jadi perintis suara orang muda