TAPAH: Barisan Nasional (BN) Tapah akan membuat beberapa tambahan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi BN Parlimen Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara tambahan yang dijangka dibuat ialah satu lagi kouta ahli majlis Majlis Daerah Tapah (MDT) untuk kaum India, menjadikannya tiga orang.

Selain itu, kata beliau, pelantikan ketua kampung daripada kaum India bagi Kg Pasir dan Kg Samy.

“Kita Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, termasuk kaum India dan juga Orang Asli,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera MIC PRU-14 Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini, pada Ahad.

Hadir sama Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

Pada PRU-13, BN menyapu bersih ketiga-tiga kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 7,927 undi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning (3,485) dan DUN Chenderiang (4,764).

Samsudin berkata, Parlimen Tapah menggambarkan semangat 1Malaysia yang sebenarnya kerana diwakili oleh tiga kaum utama iaitu beliau sendiri mewakili Melayu, Saravanan (India) dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon (Cina).

Lebih membanggakan, kata beliau, ketiga-ketiga mereka mempunyai jawatan di dalam kerajaan negeri dan Persekutuan di mana beliau dan Dr Mah sebagai Exco kerajaan negeri Perak manakala Saravanan pula ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Saravanan di dalam ucapannya pula berkata, Tapah akan terus jadi kubu kuat BN.

Elango yang juga Penasihat Menteri Besar pula yakin, dengan kerja kuat dan komitmen ahli-ahli, BN akan dapat mempertahankan Parlimen Tapah serta kedua-dua DUN Air Kuning dan DUN Chenderiang dengan undi yang lebih besar.