Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGKAI: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Barisan Nasional (BN) merampas semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai yang sebelum ini tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lepas.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kemenangan itu perlu direalisasikan supaya Sungkai turut menikmati tempias pembangunan seiring dengan keistimewaan dan kemakmuran yang ada di Slim River, Behrang serta daerah Muallim di sini.

Katanya, buat masa ini ini hanya DUN Sungkai yang terletak di bawah Parlimen Tanjung Malim diwakili pembangkang manakala yang lainnya diwakili BN.

“Oleh yang demikian, saya sangat berharap Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (ADUN Slim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim), Datuk Rusnah Kassim (ADUN Behrang) dan tentunya juga Datuk Seri Ong Ka Chuan (Ahli Parlimen Tanjung Malim), sudah melakukan yang terbaik (tetapi) Sungkai terlepas ke tangan orang lain (pembangkang).

“Tolong beritahu pengundi Sungkai baliklah kepada BN agar Sungkai dapat terus dibangunkan sebagaimana Behrang dan Slim River mendapat manfaat.

“Bagaimana daerah Muallim terus dimajukan dan memperoleh kemakmuran, kita rampas semula Sungkai kembali kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Felda Gunung Besout 1, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi MCA Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Pada PRU13 yang lepas, wakil BN di Sungkai, Goh Kim Swee tewas kepada wakil DAP, A.Sivenesan dengan majoriti 3,511 undi.

Ahmad Zahid yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, walaupun pada PRU yang lalu beliau datang berkempen ke Sungkai sebagai Menteri Pertahanan, kali ini beliau akan turun membantu atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini janji saya, saya akan datang semula ke sini (Sungkai) dan akan membantu keempat-empat calon Parlimen dan ADUN di Tanjung Malim kerana saya tidak mahu pengundi dinafikan hak mereka.

“Jangan dengar perkara yang tidak baik. Dengar perkara yang baik-baik sahaja. Kita baiki kelemahan. Kita sama-sama perbaiki kelemahan supaya kesejahteraan dapat dinikmati sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengimamkan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Saidina Abu Bakar As Sidiq di Felda berkenaan.