IPOH – Barisan Nasional (BN) tidak memandang rendah sesiapa pun calon yang diketengahkan oleh parti lawan mahupun individu yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, BN Perak menganggap itu adalah cabaran untuk bekerja dengan lebih keras dalam memastikan calon BN menang dan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

“Tidak menjadi kemuskilan kepada kita, sama ada PAS ke, PAN ke, DAP ke ataupun calon individu dan sebagainya kerana fokus kami adalah untuk memberi tumpuan bagaimana hendak menarik pengundi agar dapat menyokong BN,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, situasi yang berlaku sekarang ini menunjukkan perbalahan di pihak parti lawan mengenai siapa calon yang akan ditentukan untuk bertanding, berbanding BN yang meneruskan kesinambungan tradisi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Sebab itu kita tidak banyak fikir tentang perbalahan mengenai siapa calon dan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menekankan dalam pertemuan dengan semua ahli UMNO, BN dan wakil daripada kesemua badan di Kuala Kangsar bahawa kita semua akan bersatu apabila calon dinamakan untuk mewakili BN di Parlimen Kuala Kangar,’’ ujarnya.

Dr Zambry berkata, sesiapapun boleh membuat andaian mengenai calon yang bertanding tetapi akhirnya Perdana Menteri selaku Pengerusi BN akan menamakan calon berkenaan.

“Kita perlu menerima calon berkenaan dan memastikan BN kekal memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar,’’ katanya.