Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SIMPANG PULAI: Sukarelawan Pemuda BN (BNYV) tidak ketinggalan memainkan peranan menyuburkan semangat bantu membantu di bulan Ramadan dengan memberi bantuan kepada tiga keluarga daif di sekitar Simpang Pulai.

Antara yang dikunjungi pasukan BNYV ialah keluarga sembilan beranak yang tinggal menumpang di rumah usang milik jirannya di Kampung Kepayang yang kisahnya disiarkan oleh Suara Perak baru-baru ini.

Pengelola BNYV Perak, Al Yashir Yahya mengetuai kunjungan pasukan sukarelawan itu ke rumah Jamilah Jaapar, 43, dan disambut dengan rasa syukur oleh wanita tersebut dan ahli keluarganya.

Menurut Al Yashir, semasa lawatan itu, pihaknya menghulurkan bantuan kewangan dan kotak makanan yang mencukupi keperluan keluarga itu untuk tempoh sebulan.

“Keluarga Puan Jamilah berasa agak risau dengan tanggapan dan salah faham orang ramai terhadap mereka yang seolah-olah menagih simpati atas kesusahan hidup mereka. Sedangkan pada mereka, kehidupan sedemikian sudah jadi lumrah.

“Syukur warga Perak memiliki sifat baik hati dan pemurah. Dan itulah mesej yang kami sampaikan kepada mereka seisi keluarga, tanpa sebarang niat untuk memalukan sesiapa pun,” katanya kepada Suara Perak.

Al Yashir berharap sumbangan itu dapat melegakan hati Jamilah dan anak-anaknya yang masih kecil, agar mereka tidak berasa tersisih dan sedar keperitan hidup mereka mendapat perhatian kerajaan negeri dan agensi berwajib.

“Malah, saya berasa amat bangga kerana rakyat negeri Perak sentiasa bermurah hati, prihatin dan mengetengahkan kepayahan hidup mereka dengan segera, inilah muafakat yang kita inginkan,” katanya.

Kisah hidup Jamilah turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Hamzah Mohd. Kassim dan beberapa individu lain yang pantas menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan keluarga itu.

Selain keluarga Jamilah, pasukan BNYV melawat dua lagi keluarga daif di Kampung Sungai Ular dan Kampung Sengat yang menghadapi masalah kediaman yang usang, bekalan air dan dokumen pengenalan diri.

“Saya difahamkan masalah mereka sudah dibawa ke pengetahuan pihak berwajib. Bagaimanapun, kami akan tetap membuat susulan dengan agensi berkaitan. Kita akan bantu mereka menyelesaikan perkara ini secara berperingkat-peringkat,” kata Al Yashir.