IPOH : Jawatankuasa negeri DAP Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dua Adun DAP, Yong Choo Kiong (Tronoh) dan A. Sivasubramaniam (Buntong) yang mengumumkan keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankusa Negeri DAP Perak pada Isnin, ia adalah tindakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018.

“Jawatankuasa negeri dengan ini mengesyorkan kepada jawatankuasa disiplin parti bahawa kedua-dua Adun ini dipecat dengan segera.

“Kedua-dua Adun ini bohong bila mereka mendakwa keluar parti demi rakyat, dan berpaling tadah sokong Ahmad Faizal.

“Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Tronoh dan Buntong serta sistem demokrasi negera kita,”katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, kedua Adun itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan dan menang sebagai calon DAP.

“Kedua Adun ini sudah hilang integriti dan tidak lagi boleh dipercayai oleh sesiapa pun.

“Demi mempertahankan mandat rakyat, DAP Perak menuntut kedua-dua mereka meletak jawatan dengan segera dan memulangkan hak memilih kepada rakyat di kawasan masing-masing,”katanya.

Tegasnya, DAP Perak menasihati ahli parti supaya terus bersikap teguh dan berdiri bersama parti dalam usaha mempertahankan piluhan dan mandat rakyat.

Terdahulu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak hari ini mengisytiharkan keluar dari parti masing-masing dan memilih untuk menjadi Adun Bebas.

Tiga Adun itu ialah Adun Tronoh (DAP), Yong Choo Kiong, Adun Titi Serong (Amanah), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Adun Buntong (DAP), A.Sivasubramaniam.

Ketiga-tiga mereka membuat pengumuman itu sejurus selepas sidang media khas oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini yang memberitahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Umno dan Pas negeri Perak bersetuju untuk membentuk sebuah gabungan baru.

Choo Kiong menjelaskan tindakan itu dibuat bukan atas dasar kepentingan politik peribadi namun untuk memastikan hak rakyat di kawasan masing-masing terbela dan tidak terpinggir di bawah pembangkang.