PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan, membalas tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu dengan memboikot produk elektronik buatan Amerika, termasuk iPhone.

Tanpa menunjukkan tanda akan mengalah, Erdogan berkata, Turki akan memberhentikan pembelian iPhone buatan Amerika, sebaliknya membeli Samsung (buatan Korea Selatan) atau produk buatan Turki, Vestel.

“Jika mereka ada iPhone, ada Samsung sebagai ganti. Kita juga ada Vestel,” katanya namun belum jelas bagaimana Erdogan akan melaksanakan boikot itu.

Menurut Al-Jazeera, sejak beberapa hari lalu, nilai mata wang Turki, lira, merosot sehingga 45 peratus iaitu yang terendah tahun ini, sebelum kembali stabil semalam, selepas langkah kecairan oleh bank pusat Turki.

Namun, penganalisis bimbang krisis kewangan Turki itu menjejaskan pasaran global. Semalam, mata wang India, rupee, jatuh ke paras terendah tahun ini akibat krisis ekonomi Turki. Selain itu, mata wang Argentina dan Afrika Selatan turut jatuh kelmarin.

Menurut penganalisis, krisis kewangan Turki itu sudah dijangka berikutan keengganan Ankara menaikkan kadar faedah bagi membendung inflasi. Pertelingkahan dengan Amerika sebagai sekutu NATO juga menyumbang kepada kejatuhan lira.

Pengarah program penyelidikan bagi Turki di Institut Washington, Soner Cagaptay berkata, konfrontasi Turki – Amerika itu kini menjadi pertelingkahan dua pemimpin, terutama membabitkan penahanan pastor Amerika oleh Turki, Andrew Brunson.

“Ini bukan lagi pertelingkahan birokrasi antara dua negara, ia sudah menjadi pertelingkahan antara dua presiden,” katanya – berita harian