KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring negara terus mempamerkan aksi cemerlang selepas menewaskan Brunei dengan kemenangan bergaya 64-27 dalam hari kedua pusingan awal Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Dalam aksi pembukaan semalam, skuad negara bimbingan jurulatih dari Australia, Tracey Robinson menewaskan Thailand dengan perbezaan 43 mata.

Menampilkan aksi tangkas dan bertenaga, skuad negara kental mempertahankan benteng gol daripada dibolosi pasukan Brunei.

Bermula dengan langkah bergaya, skuad negara diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali mendahului Brunei 18-9 pada suku pertama permainan.

Saingan sengit diteruskan dalam suku kedua, apabila kedua-dua pasukan berentap mengutip mata sebelum Malaysia memperkemaskan permainan dan mendahului 29-15.

Selepas tamat waktu rehat, pasukan negara kembali beraksi menambah 18 mata pada suku ketiga diikuti 17 mata pada suku terakhir.

Turut memberi sokongan padu kepada skuad negara ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas kejayaan itu, Robinson memuji semangat kerjasama dan keserasian antara pemain membolehkan skuad negara mampu menampilkan persembahan yang baik.

“Anda perlu memiliki lebih daripada satu strategi untuk menunjukkan kemampuan sebenar pemain,” katanya.

Sementara itu, Norashikin Kamal Zaman, selaku penyerang pasukan, menyifatkan perlawanan menentang Brunei agak sukar malah jurulatih mereka seringkali mengingatkan agar tidak memandang rendah kepada kemampuan pasukan lawan.

Ditanya mengenai persediaan bertemu juara bertahan Singapura esok, Norashikin berkata pasukan negara itu akan bermain mengikut strategi yang telah dirancang selama ini.

“Kami perlukan sokongan semua rakyat Malaysia sebagai pendorong untuk kami berhadapan dengan pasukan Singapura yang kami jangkakan permainan yang agak sukar,” katanya.

Malaysia, yang memburu pingat emas di laman sendiri selepas dikecewakan Singapura 46-43 pada final edisi lepas di Singapura pada 2015, akan menentang musuh tradisi itu pada jam 5.15 petang esok, sebelum melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang Filipina, Khamis ini.

Terdahulu, Thailand tampil memberikan persembahan defensif yang cemerlang untuk menewaskan Filipina dengan mata kemenangan selesa 86-16.

Perlawanan peringkat separuh akhir akan berlangsung pada Jumaat ini dan final pada hari berikutnya.

Lima negara menyertai acara bola jaring pada edisi ke-29 temasya dwitahunan kali ini iaitu Singapura, Brunei, Filipina, Thailand dan Malaysia.

— BERNAMA