PARIT: Polis telah mengesahkan dakwaan seorang lelaki kononnya terdapat bom di dalam kenderaan dipandunya di simpang lampu isyarat Bota Kiri, di sini hanya amaran palsu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) ke atas kenderaan terbabit hanya menemui sebilah parang dan tidak menemui sebarang bom seperti yang didakwa.

“Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, lelaki berusia 30an terbabit secara tiba-tiba turun daripada keretanya dan berlari sambil menjerit terdapat bom di dalam kenderaan berkenaan sehingga mencetuskan suasana panik.

“Dia kemudiannya lari dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah lagi kenderaan namun kita telah berjaya mengesan dia sejam selepas itu,” kata beliau yang ditemui di tempat kejadian pada Sabtu.

Beliau memberitahu siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan.

“Lelaki itu telah ditahan untuk soal siasat.

“Kita akan cuba dapatkan tahan reman ke atas lelaki itu dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” ujar beliau.