KUANTAN: Seorang petugas Pejabat Hutan Daerah Kuantan menemui sebutir bom lama ketika melakukan kerja membuat sempadan di kawasan Hutan Simpan Balok di sini, hari ini.

Beliau, yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 54, berkata pada mulanya menyangka alat ganti jentera berat yang terjatuh ketika melakukan kerja tetapi selepas diteliti dan diperiksa pihak berkuasa, ia disahkan bom lama.

“Saya bersyukur tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini ke atas saya dan lima rakan lain, selepas menemui bom berkenaan, saya mengambil keputusan membuat aduan di Balai Polis Gebeng, dengan membawa gambar yang dirakam menggunakan telefon bimbit.

“Pihak polis mengesahkan ia adalah bom lama yang digunakan tentera di zaman penjajah, namun masih lagi aktif dan boleh meletup.

“Bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku, kami hanya melihat dari jauh bom berkenaan yang sudah dilitupi lumut. Ini kali pertama saya terjumpa bom lama ketika menjalankan tugas di hutan, kejadian yang berlaku menjadi pengajaran kepada saya dan rakan-rakan supaya lebih berhati-hati ketika di hutan,” katanya.

Man dan rakannya juga mengelak menghampiri atau mengambil objek asing yang ditemui dalam hutan kerana ia boleh mengundang risiko tidak diingini jika bom berkenaan tiba-tiba meletup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan penemuan bom lama di Hutan Simpan Balok.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan difahamkan bom terbabit sudah dimusnahkan dalam kawasan Hutan Simpan Balok – berita harian