HUTAN MELINTANG – Mayat seorang lelaki warga Myanmar yang lemas setelah terjatuh dari kapal dijumpai terapung di muara jeti Hutan Melintang tenghari tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang berkata operasi mengambil mangsa telah dilakukan sebaik menerima pangilan pada 1.52 tenghari tadi.

“Kapal Agensi Penguatkuasa Maritim memohon bantuan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia untuk mengambil mangsa di muara jeti kerana kapal tersebut tidak dapat memasuki kawasan Sungai Bernam.

“Mangsa merupakan seorang lelaki warga Myanmar berusia dalam lingkungan 24 tahun dipercayai maut akibat terjatuh dari kapal,” ujar beliau ketika dihubungi oleh Suara Perak.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian diarahkan oleh komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Yaakub, untuk mengambil mangsa dari kapal APMM.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.32 petang, tambah beliau.