IPOH – Seorang wanita dengan berat badan 200 kilogram terpaksa diangkat anggota bomba ke atas lori dari katil rumah beliau di Kampung Orang Asli Empangan Sultan Azlan Shah, di sini untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Norita Arip, 33, diusung turun dari rumah beliau keran tidak dapat bergerak di dalam rumahnya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Perak, Mohd Faisal Mohd Izham berkata pihak yang hadir telah memohon bantuan dari pihak bomba untuk membawa mangsa ke hospital.

Katanya, sepasukan tujuh orang anggota dikejarkan ke rumah mangsa sebaik menerima panggilan dari kakitangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang meminta bantuan khas untuk mengangkat wanita berkenaan.

“Turut dihantar ialah sebuah jentera, lori dan sepasukan Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

“Anggota kita dengan dibantu tiga kakitangan hospital yang mengusung mangsa menggunakan sehelai kain kanvas,” katanya ketika dihubungi.

Kamarulzaman berkata, ketika kejadian mangsa hanya terbaring di atas katil sedang diberikan rawatan oleh pasukan perubatan yang hadir.

“Anggota mengangkat mangsa ke atas lori dan menghantar mangsa ke hospital sambil diiringi ambulans dan jentera EMRS,” katanya.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Azzadin dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.25 pagi.