KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Bako Indah, di sini, terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila cincin yang dipakainya gagal dikeluarkan, semalam.

Mangsa, Muhd Aim Abdullah, 9, berusaha membuka cincin keluli itu sejak tengah hari semalam, namun usahanya bukan sahaja gagal malah jari manis tangan kirinya membengkak dan berdarah.

Berikutan itu, bomba dipanggil bagi membantu membuka cincin berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.42 malam tadi.

“Sebaik menerima panggilan itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan tiga anggota EMRS dari BBP Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati kanak-kanak lelaki itu sedang menahan kesakitan apabila jarinya bengkak dan berdarah akibat cincin yang tersangkut,” katanya.

Beliau berkata, penderitaan kanak-kanak itu berakhir pada jam 9.30 malam apabila bomba berjaya memotong cincin itu menggunakan peralatan khas – berita harian