KOTA BHARU: Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu terpaksa dipanggil bagi membantu menurunkan jenazah seorang wanita obesiti seberat 190 kilogram ke dalam liang lahad.

Jenazah wanita berusia 50 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjong Chat di sini kira-kira jam 11.40 pagi ini.

Ketua Operasi, Mohd Zainuddin Senawi, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.29 pagi dan beliau bersama lima lagi anggota segera ke tanah perkuburan.

“Ketika kami sampai, jenazah wanita itu sedang dalam perjalanan dan tiba beberapa minit selepas itu.

“Kami menggunakan tali penyelamat yang diikat di lima penjuru pengusung sebelum diletakkan jenazah terbabit.

“Selain enam anggota yang terbabit, kami juga mendapat bantuan dari beberapa penduduk kampung yang turut membantu menurunkan jenazah ke liang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zainuddin berkata proses menurunkan jenazah itu tidak memakan masa lama dan hanya kira-kira lima sahaja diambil.

Menurutnya lagi ia adalah satu khidmat khas kemanusiaan dari pasukan bomba terhadap masyarakat dan bersedia membantu bila-bila masa dan apa juga situasi yang diperlukan – berita harian