SITIAWAN: Anggota bomba berjaya memujuk seorang lelaki yang dikatakan cuba membunuh diri bersama-sama dua anaknya di rumah mereka di Kampung Jering, dekat sini, tengahari ini.

Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengahari mengenai seorang lelaki Cina telah mengurung dua anaknya yang berumur dalam lingkungan 7 dan 8 tahun di dalam rumah mereka.

Mangsa dipercayai membuka injap tabung gas LPG untuk membakar rumah itu.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya memujuk lelaki itu dan menyelamatkan anak-anaknya selepas memasuki bahagian belakang rumah dengan mengumpil pintu belakang.

Operasi yang diketuai PBK 1 Azlan Mahayiddin tamat jam 12.55 dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.